Tempat Menarik Di Kundasang Ranau Yang Mesti Anda Kunjungi PART 1



iklan responsive


Daerah Ranau, sememangnya terkenal dengan pelbagai tempat menarik di Kundasang khasnya. Selain daripada Gunung Kinabalu, Desa Cattle Dairy Farm dan Kinabalu National Park yang memang telah dikenali ramai di serata dunia, banyak lagi tempat menarik yang terdapat di sekitar Kundasang yang mungkin belum pernah anda kunjungi.

Tempat menarik ini sentiasa bertambah disebabkan sambutan pelancong yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa disebabkan keunikan kawasan Kundasang itu sendiri.

Udara yang segar dan nyaman, kawasan yang tinggi dan sejuk dan sangat sesuai dengan mereka yang berada di kawasan bandar, mereka yang ingin lari dari dari kesibukan kota, atau merehatkan diri dan menenangkan fikiran dari suasana kerja yang memang memeningkan.

Tambahan lagi cuaca di kawasan bandar yang sememangnya bercuaca panas dan lembab. Oleh sebab itu, Kundasang merupakan pilihan terbaik untuk bercuti dan bersantai bersama keluarga dan sahabat handai.

Tempat menarik di sini termasuklah pusat sukan dan rekreasi, pusat penginapan yang menarik, taman-taman dan pusat pertanian.

Pihak infosantai akan cuba berkongsi tempat menarik tersebut dalam perenggan yang berikutnya dan mungkin anda terbuka hati untuk mengunjungi dan menginap tempat-tempat yang dinyatakan yang pastinya memberikan satu pengalaman yang terindah bagi anda dan kami percaya anda akan merindui tempat ini dan pasti akan datang berkunjung semula pada masa akan datang.

1. Sosodikon (Pyramid) Hill, Kundasang


Bagi mereka yang meminati aktiviti lasak seperti mendaki, maka Sosodikon Hill atau Bukit Sosodikon merupakan salah satu tempat yang sesuai untuk anda.

Sosodikon Hill terletak lebih kurang 5 km dari Pekan Kundasang. Untuk sampai ke bukit ini, anda perlu menggunakan jalan yang sama ke Desa Cattle Dairy Farm dan Mount Kinabalu Golf Club.

Bukit Sosodikon terletak di sebelah kanan simpang ke Desa Cattle Dairy Farm. Anda perlu meletakkan kereta di tepi jalan dan berjalan kaki dalam lebih kurang 1.5km untuk sampai ke pintu masuk Bukit Sosodikon. Kemudian, pendakian sebenar adalah lebih kurang 20 minit dengan berjalan kaki.

Yuran masuk hanyalah RM 3.00 sahaja. Apa yang menanti anda di puncak adalah bukit yang seolah-olah berbentuk piramid. Anda pasti terhibur sepanjang perjalanan kerana kiri dan kanan anda ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan memukau penglihatan.

2. J. S Nursery Kundasang


J.S Nursery merupakan pusat penanaman tumbuhan seperti bunga-bungaan yang mana terletak di pertengahan jalan menuju ke Desa Cattle Dairy Farm, juga tersenarai dalam kategori tempat menarik di Kundasang kerana di sini anda pasti akan terpersona melihat pelbagai jenis bunga-bunga yang cantik.

Bagi anda yang meminati tumbuh-tumbuhan seperti bunga, maka tempat ini sangat sesuai untuk anda. Anda boleh membeli seberapa banyak bunga hidup yang anda perlukan bergantung kepada bajet anda.

Namun begitu, anda perlu bertanya kepada pakar tumbuhan disini sebelum membuat pembelian disebabkan mungkin ada antara bunga atau tumbuhan tidak sesuai dengan keadaan cuaca yang sedikit panas. Anda juga boleh mengambil gambar di kawasan ini berlatarbelakangkan rimbunan bunga yang mempersonakan.

3. Dream World Resort Kundasang



Dream World Resort dikenali ramai disebabkan persekitarannya yang begitu memmpersonakan terutamanya pada waktu petang. Berlatarkan Gunung Kinabalu, suasana sekeliling yang ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan menghijau, terletak di lereng bukit serta udaranya yang sejuk dan nyaman melengkapkan lagi daya tarikan di tempat ini.

Jika anda pernah pergi ke tempat ini, mungkin pada percutian akan datang, tempat ini akan jadi pilihan penginapan utaman anda. Jika anda menginap di tempat ini, jangan sia-siakan waktu senja anda. Nikmatilah waktu tersebut kerana suasana diwaktu petang dan senja mungkin jauh berbeza dengan apa yang anda pernah alami sebelum ini.

Namun begitu, anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal disebabkan penginapan di Dream World Resort adalah terhad terutamanya pada musim cuti sekolah.

4. Gerai Sayur Tepi Jalan Kundasang


Gerai sayur yang terletak di tepi jalan Pekan Kundasang sememangnya terkenal dengan sayur-sayuran yang cukup segar. Juga terdapat buah-buahan seperti strawberi dan buah markisah serta keropok yang dijual di sini. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

Bagi mereka yang menginap di homestay di sekitar Kundasang, bagaimana kalau anda mendapatkan sayur-sayuran ini dan memasaknya sendiri di homestay ?

Pasti perbelanjaan anda akan dapat dijimatkan berbanding dengan makan di restoran berhampiran. Atau anda boleh juga membeli sayur di hari terakhir anda berada di tempat menarik ini dan membawanya sebagai buah tangan untuk rakan atau ahli keluarga anda.

5. Kinabalu National Park, Kundasang


Kinabalu National Park dilengkapi dengan penginapan, trekking untuk aktiviti sukan atau bersiar-siar, pintu utama ke puncak Gunung Kinabalu, restoran, pusat maklumat dan sebagainya.

Kinabalu National Park dikategorikan sebagai tempat yang menarik disebabkan banyak aktiviti yang anda boleh lakukan disini. Antaranya ialah bersantai di pondok-pondok yang telah disediakan, berjalan kaki ke kawasan air terjun, jungle trekking, melihat atau mengunjungi pusat maklumat taman kinabalu dan sebagainya.

Tempat ini merupakan tempat yang menjadi tumpuan ramai pelancong terutamanya pada musim cuti. Tidak hairanlah jika tempat ini sentiasa sesak dan dikunjungi oleh orang ramai dari dalam dan luar negara. Anda wajib mengunjungi tempat ini jika berada di Kundasang kerana ianya merupakan salah satu pusat tarikan utama di Daerah Ranau khasnya.

Lokasi Taman Kinabalu adalah terletak di perantaraan jalan Tamparuli-Ranau. Ianya mengambil masa lebih kurang 11 minit pemanduan dengan jarak kira-kira 7 km dari Pekan Kundasang.

6. Strawberry Dan Rose Garden Kundasang


Jika anda berada di di Pekan Kundasang, selain dari War Memorial Park, Strawberry dan Rose Garden juga merupakan taman yang menarik untuk dilawati. Kawasan ini betul-betul berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang, Ranau.

Kawasan kebun strawberi dan bunga di sini agak luas. Anda boleh melihat bagaimana kaedah penanaman strawberi dan melihat buah strawberi yang sedang masak ranum.

Pelbagai jenis bunga ros juga ditanam di sini. Terdapat juga bunga-bunga lain seperti bunga matahari, kaktus,lily dan sebagainya.

Jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungi tempat ini dan bawalah kamera anda bersama-sama. Disini, anda juga boleh mendapatkan buah strawberi yang segar, anak pokok bunga dengan harga yang sangat berpatutan.

ikalan saiz 250




iklan adnow

0 Response to "Tempat Menarik Di Kundasang Ranau Yang Mesti Anda Kunjungi PART 1"

Post a Comment